KUALA LUMPUR 14 Mac – Bekas Ketua Pembaca Pruf Utusan Malaysia, Subir Dahari, 64, meninggal dunia hari ini akibat komplikasi buah pinggang.
Menurut isteri Allahyarham, Rohaya Mohd. Noor, 64, Subir telah menjalani dialisis buah pinggang sejak dua tahun lalu.
Katanya, Subir meninggal dunia kira-kira pukul 9.45 pagi di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban setelah dimasukkan ke wad sejak 6 Mac.
“Allahyarham yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Sembilan, pernah menjadi Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Panchor Jaya, Fasa 3 apabila Allahyarham menetap di Panchor Jaya, Seremban sejak tahun 2008,” katanya ketika dihubungi di Seremban hari ini.
Rohaya turut menyatakan, Subir yang merupakan bekas Yang Dipertua Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) telah berkhidmat sebagai pembaca pruf sejak tahun 1970.
Allahyarham meninggalkan tiga anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan berusia 23, 34 dan 37 tahun.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang selepas solat asar.
No comments:
Post a Comment